Tuesday, May 24, 2011

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Kesan trend kahwin lewat

KUALA LUMPUR 24 Mei - Trend melewatkan perkahwinan, terutama di kalangan wanita berpendidikan tinggi bukan sahaja membawa implikasi negatif kepada institusi kekeluargaan malah turut merencatkan pembangunan negara.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, trend negatif itu akan menyebabkan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara semakin lembap.

"Sekiranya trend ini berterusan, saya khuatir kadar kelahiran bayi di negara ini akan semakin menyusut dan kita tidak dapat menambah jumlah penduduk yang merupakan aset paling berharga.

"Negara kita tidak akan berkembang dengan jumlah penduduk sedia ada sekitar 26 juta orang sahaja. Kita perlu jumlah penduduk yang lebih ramai untuk membantu membangunkan negara.

"Perkara ini akan menimbulkan masalah kepada negara pada masa akan datang kerana kita bakal kekurangan tenaga kerja sehingga memaksa membawa masuk tenaga dari luar yang saya lihat merupakan satu pembaziran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu, menurut Fatimah, kos perbelanjaan perkahwinan yang tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit turut menjadi faktor penyumbang kepada trend tersebut.

Katanya, situasi itu mendorong golongan yang berhasrat untuk berkahwin membuat pinjaman daripada bank bagi menampung segala kos perbelanjaan.

"Paling tidak pun pasangan yang ingin berkahwin perlu menyediakan RM20,000. Ia merupakan antara sebab ramai yang membuat pinjaman bank untuk berkahwin.

"Kesannya pula, bebanan hutang bertambah kerana kadar bunga bagi pinjaman bank agak tinggi dan menjejaskan kehidupan pasangan selepas berkahwin," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Ramani Gurusamy berpendapat, keinginan golongan wanita untuk memiliki kehidupan yang stabil menjadi faktor penyumbang trend itu semakin berleluasa.